Bakat baru dalam bidang hiburan tempatan, Raja Syahiran mengakui ingin mempelbagaikan genre muzik yang terdapat di Malaysia.

Menurut Raja Syahiran, sebagai seorang penyanyi dia tidak harus terikat dengan genre muzik yang diinginkan oleh pendengar pada masa kini.

"Sebagai seorang penyanyi saya harus memberi kelainan kepada pendengar kerana tidak semua orang akan suka dengar pada satu genre muzik sahaja.

"Jika kita mengikut arus memang tidak salah namun apabila kita bina arus sendiri mungkin orang pula akan ikut genre muzik yang dibawakan oleh saya.

"Saya mungkin dapat setaraf dengan mereka jika membawakan muzik bergenre pop rock namun apa yang membezakan saya dengan mereka jika saya tidak lakukan kelainan.

"Muzik adalah sangat meluas jadi saya ingin keluarkan lagu yang lebih berkualiti kerana ingin mengenengahkan muzik di Malaysia setaraf luar negara," katanya kepada Astro Gempak.

Raja Syahiran berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single baharunya 'If I Could Go Back' di Paranormal Records, Bandar Sri Damansara, baru-baru ini.

Tambah Raja Syahiran, single baharunya ini mengentengahkan muzik bergenre pop dan berharap agar pendengar dapat menerima kelainan yang dilakukkan olehnya.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi