Pelakon Fattah Amin akui hasil kritikan yang diterima sebagai pelakon 'kayu' sebelum ini telah membuatkan dia berjaya sampai ke tahap sekarang.

Fattah berkata segala kritikan yang diterima telah membuatkannya bekerja dengan lebih keras untuk memperbaiki bakat lakonannya.

"Sampai sekarang saya masih tak percaya dengan kejayaan dan rezeki yang saya terima.

"Bagiamana pun bukan senang hendak sampai ke tahap ini, saya menerima pelbagai kritikan termasuk pelakon 'kayu' pada awal pembabitan lakonan saya.

"Ramai tak tahu saya bermula dengan melakukan kerja belakang tabir sebagai kru produksi dan hanya menceburi bidang lakonan dengan tiada ilmu lakonan langsung.

"Namun saya puas hati apa yang saya capai sekarang kerana dengan kritikan yang saya terima saya banyak belajar untuk memperbaiki lakonan saya.

"Jadi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada yang pernah mengkritik dan mengutuk saya sebelum ini," katanya kepada Astro Gempak.

Pelakon Suri Hati Mr Pilot itu ditemui selepas dia dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-30 (ABPBH3.0).

ABPBH3.0 berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, malam Ahad.

Dalam pada itu, Fattah memberitahu dia mahu menjadikan aktor Datuk Rosyam Nor sebagai idolanya dan berjaya dalam bidang lakonan.

"Saya mahu jadi seperti Rosyam Nor pelakon versatile yang bertahan hingga kini.

"Saya pernah berlakon dengannya dan saya kagum melihatnya bekerja dan tak mustahil dia boleh bertahan sehingga sekarang dan digelar Hero Malaya," katanya lagi.

Fattah turut menerima anugerah Pelakon TV Lelaki Popular di ABPBH3.0.

Teks oleh: Syafiqah Jalal