Bekas peserta Akademi Fantasia (AF) musim keempat, Velvet mengakui hamil anak keempat tidak menjadi halangan untuk dirinya mengeluarkan single baharu.

Velvet atau nama sebenarnya Velvet Lawrence Aduk, 30, berkata, meskipun sedang hamil namun perkara tersebut tidak mengganggu fokusnya untuk kembali aktif sebagai penyanyi.

"Sebenarnya kami pun tidak merancang untuk menambah bilangan anak dalam masa terdekat ini namun semua ini adalah rezeki yang telah ditetapkan.

"Saya pun sudah maklumkan kepada pihak pengurusan selepas disahkan hamil namun perkara itu tidak menjadi masalah bagi mereka.

"Mahu atau tidak, promosi untuk single ini harus tetap berjalan kerana kehamilan tidak menjadi masalah bagi saya untuk melakukannya.

"Kandungan saya kini telah memasuki usia tujuh bulan dan saya berharap agar single ini akan mendapat sambutan daripada orang ramai terutama peminat yang menantikan kemunculan semula saya," katanya kepada Astro Gempak.

Velvet berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single baharunya 'Jauh' di Paranormal Records, Bandar Sri Damansara, baru-baru ini.

Tambah Velvet, single terbaharunya itu berkisarkan kehidupan peribadinya berhubung cinta dan perkahwinan dengan suami, Rich yang merupakan vokalis kumpulan Estranged.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi