Persembahan kumpulan nasyid Mirwana mencuri perhatian penonton setia program Gema Gegar Vaganza (GGV) saban minggu.

Sering hadir dengan persembahan kreatif, Mirwana juga menampilkan kekuatan vokal yang memukau juri serta penonton.

Di sebalik persembahan menghiburkan mereka, Mirwana sebenarnya berdepan cabaran tersendiri.

Dianggotai oleh Hafiz, Akmal, Ikram, Faiz, Along dan Naim, semua anggota Mirwana mempunyai kerjaya tetap selain melibatkan diri dalam industri nasyid.

Saat mereka mengambil keputusan untuk menyertai GGV, mereka mempunyai masa yang sangat terhad untuk berkumpul dan berlatih.

Menerusi laman Facebook rasmi Mirwana, enam jejaka itu berkongsi kisah sebalik tabir penglibatan mereka dalam GGV bersama peminat:

"MIRWANA: ANTARA AKTIVITI NYANYIAN VS KERJAYA

Mungkin ramai yang tidak tahu setiap anggota Mirwana masing-masing ada kerjaya tetap selain melakukan aktiviti nyanyian bersama Mirwana.

Mungkin juga ramai yang belum kenal nama setiap ahli Mirwana ini.

Marilah kita berkenalan.

Dari kiri:

1. Muhammad Hafiz Tamizi - Penganalisa Sistem Maklumat

2. Akmal Fatihah - Guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI)

3. Ikram Mirwana - Eksekutif Perbankan di sebuah bank antarabangsa

4. Mohd Faiz Saidina Omar - Eksekutif Operasi Jualan di sebuah syarikat automotif

5. Mohd Hafiz Hamzah (Along) - Jurutera Mekanikal & Elektrikal

6. Naim Mirwana-Naim Helmi - Air Traffic Controller

---

"WOW BUSY BETUL SEMUA ORANG! BILA MASA PRAKTIS?"

1. Kami perah otak dan praktis untuk setiap minggu persembahan #gemagegarvaganza dalam sikit masa terluang yang kami ada. Biasanya waktu malam selepas kerja.

2. Jadual waktu kerja kami pun berlainan. Ikram biasanya habis kerja pukul 2 pagi. Bekerja mengikut waktu operasi syarikat luar negara.

3. Sebab itu Ikram selalu tiada semasa di Meletop atau interviu lain.

3. Masa berjumpa band dan Music Director hari Isnin selalunya tidak cukup ahli.

4. Hari rehearsal dan praktis ialah hari Khamis dan Jumaat. Biasanya hari Khamis baru dapat jumpa sekali.

5. Tapi ada juga minggu yang kami tidak berjumpa sehinggalah hari Sabtu -- hari nak LIVE GGV!

---

Insya-Allah kami manfaatkan sedikit masa terhad yang kami ada untuk buat yang terbaik.

Terima kasih atas sokongan #TeamMirwana dan #MirwanaSuperfriends yang memahami jadual kami yang padat menguruskan kerjaya, Mirwana dan keluarga.

Silakan #share ye.

#ggvmirwana
," tulis Mirwana.

Gema Gegar Vaganza bersiaran setiap Sabtu, jam 9.00 malam bermula 8 April di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

Bersiaran langsung di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Gema Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai pengacara.

Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza.

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GGV, mahu menonton video-video persembahan peserta dan ingin mendapatkan lebih info mengenai program ini dan, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my atau gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal