Penyanyi Siti Nordiana Alias menafikan ada pihak yang cuba melakukan sabotaj terhadap kerjayanya.

Baru-baru ini, penyanyi yang mesra disapa dengan panggilan Nana itu didakwa sengaja datang lambat ke lokasi sebuah penggambaran.

"Saya tak rasa ada mana-mana pihak cuba untuk melakukan sabotaj terhadap kerjaya seni saya. Mungkin ada sedikit salah faham yang berlaku.

"Saya tak pernah lewat ke acara atau set penggambaran sepanjang dua tahun kebelakangan ini. Pengurus saya begitu menepati masa dan dia memberikan saya 'call time' yang lebih awal agar saya bersedia atau sampai sebelum 'call time' sebenar," kata Nana kepada Astro Gempak.

Penyanyi lagu Pesanan Terangung ini turut meluahkan rasa keliru program mana yang dimaksudkan kerana dia tidak pernah tiba lewat di sesebuah acara atau set penggambaran.

"Saya tertanya juga acara atau set mana yang saya sampai lewat. Tetapi, saya mengaku, baru-baru ini saya ada memohon sebuah pihak produksi untuk mengawalkan giliran saya.

"Saya tiba awal di lokasi tersebut dan ketika itu, acara masih belum berlangsung. Saya memohon budi bicara untuk mengawalkan giliran pun atas sebab yang kukuh.

"Saya perlu menghadiri dan membuat persembahan di sebuah acara anugerah selepas itu. Saya juga mahu membuat latihan persembahan.

"Namun begitu, kalau saya ada membuat sebarang kesalahan, saya memohon maaf jika saya ada menyusahkan atau melakukan kekhilafan kepada mana-mana pihak. Saya enggan memanjangkan lagi perkara ini," katanya ketika ditemui di majlis sidang media Showcase Pelayaran Sambil Menderma bersama Siti Nordiana di Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam.

Dalam perkembangan lain, program Gema Gegar Vaganza yang menampilkan Nana sebagai hos kini sudah memasuki minggu separuh akhir.

Gema Gegar Vaganza bersiaran setiap Sabtu, jam 9.00 malam bermula 8 April di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

Bersiaran langsung di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Gema Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai pengacara.

Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza.

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GGV, mahu menonton video-video persembahan peserta dan ingin mendapatkan lebih info mengenai program ini dan, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my atau gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal