Pelakon baru yang sedang mencipta nama, Ben Amir gementar menggalas watak utama dalam drama bersiri terbaru berjudul Semusim Rindu.

Memegang watak Ikman, drama bersiri tersebut merupakan hasil adaptasi novel tajuk sama karya Aleeya Aneesa.

"Drama bersiri ini merupakan drama pertama yang menampilkan saya memegang watak utama. Sejujurnya, saya agak gementar untuk beraksi membawa watak hero.

"Drama bersiri ini merupakan drama adaptasi novel. Sudah pastinya Semusim Rindu mempunyai pengikut tersendiri. Saya mencuba untuk mengikut acuan watak Ikman dan berharap agar percubaan saya membuahkan hasil," kata Ben kepada Astro Gempak.

Drama bersiri ini juga menyaksikan Ben bergandingan dengan Intan Ladyana yang sudah dua tahun tidak muncul di kaca televisyen.

"Apabila saya mendapat tahu yang saya bakal bergandingan dengan Intan, saya sendiri sudah menetapkan sasaran untuk memberikan hasil lakonan yang terbaik. Sudah lama Intan tidak berlakon dalam drama bersiri.

"Saya harus memberikan persembahan terbaik untuk menjayakan watak Ikman untuk dipadankan dengan kemunculan semula Intan di kaca televisyen," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran program Ramadan Astro 2017 pada Selasa.

Drama bersiri ini bakal bersiaran sempena kedatangan bulan Ramadan. Saksikan Semusim Rindu bermula 29 Mei, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang di Astro Prima dan Astro Maya HD.

Teks oleh: Kamaruddin Razal