Pengacara dan pelakon, Hanis Zalikha, 27, bersifat lebih terbuka membesarkan dan mendidik anak pertamanya, Yusuf Iskandar.

Sejak awal kandungan lagi, Hanis menyatakan bahawa dia tidak mahu terlalu mengambil serius tentang sesuatu perkara, lebih-lebih lagi soal mendidik dan cara membesarkan Yusuf.

”Sejak Yusuf di dalam kandungan, sudah ada ramai pihak yang bertanyakan pelbagai soalan tentang anak kami.

”Antaranya ialah mereka bertanya sama ada saya ingin membuka akaun Instagram untuk anak saya dan macam-macam lagi.

”Bagi saya dan Hairul, kami lebih suka jika sesuatu keputusan itu dibuat apabila tiba pada waktunya,” kata Hanis kepada Astro Gempak.

Hanis turut menjelaskan bahawa mungkin dengan cara tersebut, adalah jalan terbaik buat Yusuf Iskandar yang kini berusia 11 bulan.

Dalam perkembangan lain, Hanis berkata dia masih lagi ingin memberi tumpuan sepenuhnya kepada Yusuf.

”Banyak perkara yang perlu saya pertimbangkan sebelum menerima sesuatu tawaran.

”Bukan tidak rindu untuk beraksi di kaca TV, tetapi saya akan utamakan Yusuf selain saya juga yang bertanggungjawab untuk menguruskan perniagaan kami.

”Komitmen yang diperlukan untuk berlakon adalah lebih tinggi dan saya rasakan waktunya belum sesuai,” kata Hanis yang berterima kasih kepada peminat yang mengundi Yusuf dalam AME 2017.

Hanis, Hairul Azreen dan Yusuf Iskandar ditemui ketika majlis pelancaran pertandingan ’Cipta Kawan Cheek-e!’ di SK Seri Tasek, Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

Selain itu, Hanis juga bakal terlibat dalam penjurian 10 peserta terbaik menerusi pertandingan tersebut yang telah bermula dari 8 Mei hingga 21 Mei 2017.

Untuk maklumat lanjut mengenai pertandingan tersebut, sila layari laman web http://www.astro.com.my/cheeke

Teks oleh : Izzat Ridzwan
Foto : IG @theyusufiskandar