Pelakon Ezzaty Abdullah mengesahkan dirinya sedang hamil sembilan minggu.

Ezzaty sedar dia berbadan dua pada tiga minggu lalu selepas mengujinya menggunakan alat pengesan kehamilan.

"Saya mengalami kitaran haid yang tidak teratur lebih sebulan lamanya. Sejujurnya, saya tidak berharap untuk hamil kerana sebelum ini saya pernah kecewa.

"Namun begitu, tiga minggu lalu, suami saya, Azwan Kombos tergerak hati menyuruh saya untuk menguji kehamilan. Alhamdulillah, keputusannya positif.

"Selepas itu, saya berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut dan saya sangat bersyukur kerana saya telah disahkan hamil," kata Ezzaty kepada Astro Gempak ketika ditemui di majlis pelancaran program Ramadan Astro 2017 sebentar tadi.

Dalam pada itu, Ezzaty enggan terlalu memikirkan mengenai jantina anak sulungnya.

"Saya dan suami tidak kisah anak kami ini lelaki atau perempuan kerana ini merupakan anak sulung.

"Kami cuba berharap agar anak yang bakal lahir ini berada dalam keadaan sihat dan sempurna. Azwan juga menasihati saya agar tidak bergerak dengan terlalu lasak untuk menjaga kandungan," katanya lagi.

Ezzaty dan Azwan mendirikan rumah tangga pada 16 Julai 2016 di kediaman Ezzaty di Bentong, Pahang.

Drama lakonan Ezzaty bersama Saharul Ridzwan dan Luqman Hafidz, Megat Extend bakal ditayangkan bermula 10 Mei, jam 9.00 malam di Astro Warna dan Astro Warna HD.

Teks oleh: Kamaruddin Razal