Persembahan kumpulan nasyid Hijjaz di minggu kelima Gema Gegar Vaganza (GGV) menyampaikan lagu Rendang Tak Berbuah begitu mengesankan hati penonton.

Membawa mesej mengenai hubungan ibu dan juga anak, Hijjaz yang berduet bersama Lan Kristal turut menjemput rakan mereka, Salman untuk menjayakan persembahan di pentas GGV.

Namun begitu, penglibatan Salman yang berstatus orang kelainan upaya (OKU) menjadi pertikaian netizen.

Ada yang tampil mengkritik Hijjaz dan mendakwa mereka mempergunakan OKU untuk meraih simpati.

Anggota kumpulan Hijjaz, Munif tampil menjawab dakwaan tersebut menerusi laman Facebook miliknya.

Berikut merupakan status yang dimuat naik oleh Munif:

"Ya Salam..

Ni dari peminat nasyid yang bertanding atau penonton biasa ni???

Ini Gema Gegar Vaganza..

Tengok juri dah tau, GGV fokus lebih pada mesej dan penceritaan lagu (mengikut kesesuai lirik), kami diminta untuk memikirkan sesuatu yang boleh memberi makna dan mesej dari sesebuah lagu, ada sesetengah lagu tu tak sesuai dengan penasyid-penasyid yang ada, jadi sebagai peserta kami ditanya apa yang kamu nak maksudkan dgn mesej-mesej yg terkandung dalam lirik lagu.

Ni yang sibuk nak komen lakonan Hijjaz ni apasal? Macam peminat artis lain yang bertanding je?? Kalau tak suka tengok persembahan Hijjaz tukar je chanel lain.. Hijjaz masuk ni diundang dik oiii...

Kami pergunakan OKU??? Kalau macam tu Astro pun guna OKU, bukan ke sahabat kita Azmi pun OKU? Ini tak ada kena mengena dengan OKU, Salman tu sahabat kami dari zaman Nada Murni, dia pun bangga memberi sumbangan di GGV..

Adakah OKU tak layak membuat persembahan? Nak suruh diorang mengemis je ke? mereka pun manusia mcm kita yang ada hati nurani, teringin nak buat mcm orang lain buat...

Peserta GGV bebas berkarya mengikut cara dan tema yang diinginkan, siapa ada idea buat, tak ada idea tak payah buat, pihak Astro galakkan supaya perserta fikirkan sesuatu, supaya mesej sampai. Kalau tak suka konsep mcm ni tak payah tengok GGV, tengoklah Mentor ke, Muzik Muzik ke, AF ke, banyak lagi program hiburan yang tak ada penceritaan..

Kenapa kami tiba-tiba baru nak buat konsep macam ni, dulu tak ada pun?? Siapa yg follow Hijjaz dari zaman Nada Murni dia tau lah, konsep ni dari dulu dah ada, tapi telah lama ditinggalkan sbb Nada Murni telah dibubarkan, kini bila masuk GGV peluang itu diberikan semula supaya penonton merasai roh sesebuah persembahan, bak kata Oki, GGV sangat berbeza, ia bukan hiburan suka suki yang lain, ada mesej tersembunyi yang nak disampaikan pada penonton...

Orang bukan Islam pun boleh tertarik dan menghayati apa yang nak disampaikan Hijjaz, ni orang Islam pula tak boleh menghayati...

Tak ada apa yang ingin aku kejarkan di dunia ini, hanya mendambakan redha-Mu..

Ya Allah, aku hanya merindukan kasih-Mu & syurga-Mu... Aku menang atau kalah di GGV ini, tidak akan mengurangkan cintaku pada-Mu Ya Allah..
selagi aku bernafas, semuanya diatas kudrat dan iradah-Mu Ya Allah..

Munif Ahmad tak ada apa yang nak kau banggakan didunia ini, semuanya anugerah dan pinjaman Allah yang maha agung..

(Dah lah, berserabut nak fikir benda-benda macam ni.. nak fokus lakonan minggu depan pulak.. ) #taksukatengoksudah

#ggv2017," tulis Munif.

Gema Gegar Vaganza bersiaran setiap Sabtu, jam 9.00 malam bermula 8 April di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

Bersiaran langsung di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Gema Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai pengacara.

Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza.

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GGV, mahu menonton video-video persembahan peserta dan ingin mendapatkan lebih info mengenai program ini dan, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my atau gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal