Penduduk sekitar Jakarta digemparkan dengan kehadiran buih putih seperti salji yang berlaku selepas hujan di Jalan Jenderal Sudirman, Jakarta Sabtu lalu.

Beberapa keping gambar dan video yang dirakam dan dimuat naik menunjukkan sebahagian jalan berkeadaan putih seperti dilitupi salji telah tular di media sosial.

Bagaimanapun, pihak berkuasa memaklumkan buih putih itu bukannya salji tetapi buih daripada cecair sabun yang tumpah di jalan raya.

Cecair itu dilaporkan telah tertumpah dari projek pembinaan transit laju massa (MRT) di kawasan berkenaan.

Menurut wakil MRT, Tubagus Hikmatullah, cecair seperti sabun itu digunakan untuk melembutkan tanah ketika proses menggali terowong untuk projek berkenaan.

"Baki cecair itu disimpan di tapak projek berhampiran tetapi tertumpah dan mengalir ke jalan raya.

"Hujan yang turun tidak lama kemudian menyebabkan cecair itu menjadi buih putih seperti salji.

“Buih ini tidak bahaya dan kami mengambil tindakan tegas bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang,” jelasnya kepada portal Jawapos.com.

Rata-rata penduduk yang cemas dengan keadaan itu telah berkongsi gambar di media sosial dan telah menarik perhatian ribuan pengguna di Twitter.

Ada di antara mereka yang teruja dengan keadaan itu selain ada di kalangan pengguna laman sosial yang beranggapan bahawa ianya sebagai salah satu tanda akhir zaman.

Walau bagaimanapun, segala kekecohan telah diredakan apabila pihak berkuasa tampil menjalaskan perkara sebenar yang berlaku.

Sumber : Medan.tribunnews.com
Olahan : Izzat Ridzwan