Penyanyi kelahiran Singapura, Harris Baba akui kecewa apabila bakatnya tidak diterima di negaranya sendiri.

Pun begitu, Harris atau nama sebenarnya Khawaja Mohammad Harris Baba, 27, memberitahu dia tidak pernah berputus asa sebaliknya terus mencuba untuk lebih dikenali di tanah airnya.

"Sebenarnya, saya memulakan karier saya sebagai penyanyi di Singapura terlebih dahulu selama setahun lebih sebelum berhijrah ke Malaysia.

"Pun begitu, kerjaya saya di negara sendiri tidak menjadi.

"Di sana mereka tak begitu terbuka untuk beri saya peluang. Saya pun tertanya-tanya kenapa.

"Terus-terang saya katakan, ada juga rasa kecewa apabila tidak diterima negara sendiri dan ia amat menyedihkan.

"Namun saya tidak akan berputus asa kerana baru-baru ini saya baru sahaja terima undangan untuk ditemubual di salah sebuah stesen radio Singapura,"katanya kepada Astro Gempak.

Harris ditemui pada majlis pelancaran single keduanya berjudul Parah di Red Box The Gardens pada Jumaat.

Penyanyi yang popular dengan lagu Katakan itu bagaimana pun bersyukur kerana Malaysia telah menerima bakatnya dengan sangat baik.

"Berbeza di Malaysia, saya diterima dengan baik sekali dan saya perlu berterima kasih kepada industri muzik di Malaysia.

"Negara ini telah memberi saya pelung untuk lebarkan bakat dalam bidang nyanyian dan lakonan.

"Ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk lakukan yang terbaik," katanya lagi.

Single Parah yang dicipta oleh Faizal Tahir, Mike Chan, Ezra Kong dan Romeo itu kini boleh dinyanyikan oleh semua pengunjung cawangan Red Box, Green Box dan Box Plus.

Teks oleh Syafiqah Jalal