Setelah satu dekad menghiburkan penonton, Astro Ceria kini tampil dengan misi pencarian maskot bagi saluran kanak-kanak tersebut.

Sebuah program pertandingan mencipta maskot kumpulan rasmi Astro Ceria yang diberi nama ‘Cipta Kawan Cheek-e!’ telah dilancarkan semalam, 8 Mei dan akan berakhir pada 21 Mei 2017.

Menerusi pertandingan ini, peserta hanya perlu mereka cipta dan menghasilkan karakter baru yang akan dipadankan dengan karakter sedia ada.

Karakter kartun yang telah dinilai dan dipilih sebagai juara akan digunakan secara meluas di dalam program-program dan platform digital Astro Ceria.

Selain itu, pertandingan ini juga akan menjelajah ke 19 buah sekolah terpilih bagi mencungkil bakat-bakat pelajar sekaligus mencari juara bagi pertandingan tersebut.

Bagi 10 penyertaan terbaik, lukisan para peserta akan dinilai oleh pengacara popular, Hanis Zalikha bersama empat lagi juri profesional lain.

Menariknya, empat karakter paling menarik bakal menerima hadiah sebuah Samsung Galaxy Tab A setiap seorang.

Selain itu, enam pemenang tempat kedua pula akan menerima kamera Polaroid Fujifilm Instax Mini 8 dan 30 pemenang lain akan menerima satu set Lego Classic 10703 Creative Builder Box.

Untuk maklumat tambahan mengenai pertandingan ini, anda boleh layari laman web www.astro.com.my/cheeke.

Teks oleh : Izzat Ridzwan