Pelakon drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati, Alif Satar melahirkan rasa syukur sebaik sahaja mengetahui disenaraikan sebagai calon akhir Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 untuk lima kategori.

Menurut Alif, walaupun dia tidak mengharapkan kemenangan namun pencalonan itu sendiri sudah amat bermakna buat dirinya.

"Ya Allah, Alhamdulillah... Selepas 11 tahun… Dari menyanyi di kedai mamak, menyanyi di pasar sayur, kena boo (ketika konsert David Archuletta), menjadi pengacara di majlis hari jadi kanak-kanak, Anugerah Skrin dan sebagainya.

“Menerima watak kecil untuk drama televisyen sehinggalah ke filem. Daripada pengalaman pertama melakukan musikal pada umur 14 tahun sehinggalah berjaya ke Istana Budaya.

“Hari ini apabila menerima berita saya mendominasi pencalonan ABP (serius rasa macam mimpi)… Saya sangat berterima kasih.

“Saya bersyuku di atas segalanya, untuk semua orang…. Biarpun tak menang, pencalonan ini pun dah amat bermakna untuk saya. Tak kira apa perkara yang dilakukan, LILLAHITAALA… berdoa dan jangan sesekali putus asa.

“Segala pujian bagi Allah, Sayang korang semua dan semoga diberkati tuhan,”
tulisnya menerusi akaun Instagram baru-baru ini.

Dalam pada itu, ruangan komen Alif dipenuhi dengan ucapan tahniah daripada para peminatnya.

Alif tercalon dalam empat kategori utama iaitu Pelakon Filem Lelaki Popular, Penyanyi Lelaki Popular, Artis Versatil Popular dan Pengacara TV Popular.

Manakala untuk kategori online pula, Alif bergelar calon Top 5 bagi Gandingan Serasi Drama bersama Siti Nordiana, menerusi drama Dia Semanis Honey.

Dalam perkembangan lain, drama bersiri Hikayat Cinta Si Pematah Hati sedang hangat ditayangkan di kaca televisyen.

Selain Alif dan Nabila Razali, drama ini turut menampilkan pelakon seperti Hafreez Adam, Fezrol Khan dan Yaya Zahir.

Hikayat Cinta Si Pematah Hati bersiaran jam 10.00 malam, setiap Isnin hingga Khamis hanya di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).