Seorang bapa kejam telah bertindak menggigit bayi perempuannya sendiri sehingga mati kerana kecewa dengan jantina anaknya itu.

Lelaki berusia 37 tahun yang berasal dari Syria itu membunuh bayi berusia sembilan bulan di rumahnya yang terletak di Jaramana, Damsyik.

Menurut laporan portal berita Khaleejtimes, bapa tersebut menggigit anaknya tanpa belas kasihan kerana beranggapan bayi perempuan hanya akan mendatangkan nasib malang kepada keluarganya.

Ketika kejadian, ibu kepada bayi malang itu berasa tidak sedap hati apabila melihat suaminya mendukung bayi tersebut.

Dia kemudian bergegas ke rumah jiran untuk meminta bantuan dan sebaik tiba di rumah, kelihatan anaknya sudah tidak bernyawa dan terdapat kesan lebam pada wajahnya.

Bayi tersebut kemudian dikejarkan ke Hospital Al-Radi di Jaramana dan doktor telah mengesahkan bahawa dia mati kerana gigitan.

Kedua ibu bapa bayi tersebut kini ditahan bagi membantu siasatan dan polis akan menentukan hukuman yang bakal diterima mereka kelak.


Sumber : Khaleejtimes.com
Olahan : Izzat Ridzwan