Konsert kelima Gema Gegar Vaganza (GGV) telah berlangsung dengan meriah di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras malam tadi.

Bertemakan Bergabung Bergema, tujuh bintang GGV menyampaikan lagu tugasan masing-masing secara berduet bersama bintang jemputan dengan penuh semangat.

Wani yang menyampaikan lagu Hati Kama duet bersama Ernie Zakri menjadi bintang keempat yang tersingkir manakala UNIC yang menyampaikan lagu Nyanyian Serambi mengungguli tempat teratas minggu kelima.

UNIC juga terpilin sebagai pemenang Anugerah Gema Terindah kategori gabungan menjadi atas persembahan yang memukau.

Pemenang menerima wang tunai bernilai RM5,000 sumbangan Kopi Pak Belalang. Setiap minggu, hadiah akan disalurkan kepada badan amal atau individu yang memerlukan.

Semua peserta GGV memberikan saingan sengit membuatkan juri tetap Farihin Abdul Fattah, Oki Setiana Dewi dan juri jemputan Datuk Suhaimi Md Zain (Pak Ngah) sukar untuk menentukan siapa yang layak berada di kedudukan pertama.

Di bawah merupakan kedudukan peserta berdasarkan format pemarkahan 100% oleh juri profesional dan komen-komen yang telah diberikan:

UNIC - Nyanyian Serambi (duet bersama Ayai Ilusi)
"Saya puas dengan persembahan UNIC malam ini. Saya terasa macam di kampung, anda bawa kami semua ke dalam persembahan anda," - Farihin Abdul Fattah.

Mirwana - Bertakhta Di Hati (duet bersama Farahdhiya)
"Saya dengar lagu ini romantik dan akhirnya saya yakin lagu ini tentang cinta. Lagu ini bagus dan saya harap penonton dapat menangkap maksud lagu ini iaitu cinta kepada Allah. Persembahan anda semua sangat bagus," - Oki Setiana Dewi.

Hafiz Hamidun - Sabar (duet bersama Ismail Izzani)
"Sebagai penyanyi, kamu sangat bagus. Lagu Arab kamu bagus, lagu Melayu bagus, lagu pop pun kamu bagus. Tetapi kamu perlu lebih mengatasi yang lain," - Pak Ngah.

Hijjaz - Rendang Tak Berbuah (duet bersama Lan Kristal)
"Persembahan anda yang bermesej selalu ditunggu-tunggu. Ada misi, ada makna dan stage performance anda sangat bagus setiap minggu, sampai ke hati," - Oki Setiana Dewi.

Azmi Saat - Manusia Sempurna (duet bersama Gmie Screen)
"Setakat ini, setiap minggu anda menyanyikan lagu yang sangat secocok. Sangat bertenaga. Tetapi ada baiknya anda memperbaiki persembahan anda untuk mendapatkan persembahan yang lebih baik lagi di minggu hadapan," - Farihin Abdul Fattah.

Saujana - Bukan Belas Bukan Simpati (duet bersama Azian Mazian Sapuan)
"Secara keseluruhan, persembahan anda biasa tetapi sedap. Tetapi anda perlu memperbaiki persembahan untuk memberikan yang terbaik untuk penonton," - Farihin Abdul Fattah.

Wani - Hati Kama (duet bersama Ernie Zakri)
"Kamu boleh menyanyi, tone kamu bagus, persembahan menarik tetapi banyak perkara lagi kamu kena tingkatkan. Jangan ikut penyanyi asal," - Pak Ngah.

GGV bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB pada setiap Sabtu, pukul 9.00 malam serta boleh ditonton di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135).

Konsert minggu separuh akhir GGV bakal menyaksikan enam bintang yang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GGV, mahu melihat kembali video-video persembahan GGV atau ingin mendapatkan segala informasi mengenai GGV, klik ---> GemaGegarVaganza.

Teks oleh: Kamaruddin Razal