Peserta Gema Gegar Vaganza (GGV) UNIC, Bazli UNIC akui kurang bersemangat jika tidak bertemu anaknya, Muhammad Syahid, 4, yang kini sedang menjalani rawatan kanser di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Perkara itu diluahkan oleh Bazli, 33, menerusi akaun Instagram (IG)nya kira-kira 12 jam yang lalu.

“Rutin ayah.. Setiap hari sebelum pergi kerja dan lepas balik kerja mesti nak dapat semangat dengan syahid. Lepas selesai full rehearsel GGV, ayah terus ke hospital ngendap syahid balik pintu.

"Belum tido rupanya.. hahah. Klu ayah x cium Syahid lap-lap badan Syahid, baca quran dgn syahid hari ayah xkan sempurna mcm ada xkena,”
tulisnya.

Dalam pada itu, Bazli juga turut memberitahu perkembangan terbaru mengenai tahap kesihatan anak sulungnya itu.

“Result scan baru ni nampaknya Allah belum izin lagi untuk Syahid sembuh.. Masih ada lagi sel kanser tempat lama dan bertambah bengkak2 baru di leher, bawah ketiak dan tempat-tempat lain. Syahid memang nampak dia berkerut muka mungkin tengah tahan sakit.

“Tido asyik pegang kepala. Sedih memang sedih.. tapi apakan daya usaha tetap usaha, doa tetap terus berdoa minta setiap masa tanpa jemu pada Allah yg Maha Penyembuh
.

"So Syahid akan diteruskan rawatan kimo di HKL. Doktor sedang usaha cari jalan terbaik berdasarkan penglaman dan kepakaran mereka. Doakan syahid ye. #syahid #bintangsyurga #anak #cancer #hkl #lymphoma #kanser,“ jelasnya.

Sementara itu, ruangan komen entri tersebut menerima banyak ucapan para peminat yang mendoakan kesembuhan Syahid.

Gema Gegar Vaganza bersiaran setiap Sabtu, jam 9.00 malam bermula 8 April di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

Bersiaran langsung di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Gema Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai pengacara.

Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza.

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GGV, mahu menonton video-video persembahan peserta dan ingin mendapatkan lebih info mengenai program ini dan, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my atau gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Mya Amri