Penyanyi dari Filipina, Jason Dy memberitahu single duet bersama Fazura berjudul Nothing Like Pag Ibig telah menduduki tangga teratas carta muzik stesen muzik di Filipina.

Malah, Jason berkata muzik video lagu tersebut telah ditonton hampir 35 ribu kali di YouTube sejak dimuat naik pada Februari lalu.

"Sambutan terhadap lagu ini di negara saya sangat hangat.

"Lagu ini sudah menduduki tangga teratas carta muzik stesen muzik nombor satu di Filipina sejak tiga bulan lalu.

"Pada saya ini satu perkembangan yang sangat baik," katanya kepada Astro Gempak.

Jason atau nama sebenarnya Jason James Dy, 26, ditemui pada pelancaran muzik video karaoke
Nothing Like Pag Ibig, bertempat di Redbox pusat membeli belah The Garden, baru-baru ini.

Bercerita mengenai Fazura, Jason memberitahu dia berbangga apabila digandingkan bersama dengan seorang selebriti yang berbakat.

"Saya menonton program realiti Fazura. Dari situ saya mula mengenali dan tahu serba sedikit mengenai dirinya.

"Pada saya, dia seorang yang sangat berbakat. Sejak itu saya menyimpan hasrat satu hari nanti saya mahu berkolaborasi dengannya.

"Saya nyatakan keinginan itu kepada pengurusan saya dan tidak lama kemudian saya diberitahu akan berduet satu lagu dengan Fazura.

"Saya sangat teruja. Ini juga merupakan pertama kali saya berduet dengan artis yang bukan dari negara saya.

"Saya ingin mengetengahkan kuasa muzik dan bagaimana muzik mampu menyatukan sesama kita tanpa mengira bahasa," katanya

Selain itu, Jason yang merupakan juara The Voice of Philippines musim kedua itu turut merakamkan satu lagi versi bertajuk Nothing Like Cinta Ini bersama Fazura.

Perkembangan lain, pasangan duo ini bakal membuat persembahan di Festival Filem Antarabangsa Asean di Kuching Sarawak pada 6 Mei ini.