Penyanyi Adira Suhaimi akui berat bandannya kini susut sebanyak 25 kilogram (kg) selepas selepas berpantang.

Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 25, berkata selepas melahirkan anak sulungnya, Anggerik dua bulan lalu, dia telah dijaga oleh seorang bidan untuk menjalani proses berpantang.

"Sebenarya masa mengandung berat badan saya naik hingga mencecah 74 kilogram dan Alhamdulillah selepas dua bulan bersalin kini ia sudah susut iaitu 49 kilogram sahaja.

"Tiada perkara spesifik yang saya lakukan untuk menurunkan berat badan, cuma saya hanya berpantang yang dijaga rapi oleh seorang bidan.

"Lagipun saya tidak boleh melakukan senaman yang berat kerana bersalin secara pembedahan.

"Penurunan mendadak itu, mungkin kerana saya menyusu badan dan ia buat saya cepat kurus,"katanya kepada Astro Gempak.

Adira ditemui pada sidang media pengumuman Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 3.0 (ABPBH3.0) yang diadakan di Galeri Prima , Bangsar semalam.

Pun begitu, Adira memberitahu dia masih lagi belum kembali ke berat badanya sebelum hamil iaitu 42 kg.

Mahu kembali ke bentuk idamannya, Adira berkata dia kini masih lagi berpantang walaupun tempoh tersebut sudah selesai.

"Walaupun berpantang dah habis tetapi saya tetap teruskan dengan tidak mengambil makanan berminyak dan minum air sejuk.

"Bukan kerana hendak kurus sangat tetapi lebih kepada ingin memastikan luka pembedahan saya benar-benar pulih," katanya lagi.

Penyanyi lagu Aku Ada Kamu itu dicalonkan menerusi kategori Artis Sensasi bersama empat calon lain iaitu Elly Mazlein, Neelofa, Fattah Amin dan Uqasha Senrose.