Penyanyi Elly Mazlein, 37, akui tidak kisah sekiranya dilabel sebagai artis sensasi sebaliknya menyukai gelaran tersebut.

Elly berkata dia tidak mahu menjadi hipokrit dan kontroversi yang berlaku itu juga ada hikmahnya.

“Bagi saya buat apa nak jadi hipokrit. Apa yang berlaku pada saya waktu itu jangan dipandang negatif saja.

“Betul saya adalah artis yang sangat sensasi dengan cerita-cerita kontroversi tapi saya tak kisah, yang penting letup.

“Kalau tak sensasi mana orang nak ingat, itu adalah hakikatnya. Tak semua cerita sensasi itu perlu dilihat dari satu sudut sahaja dan saya percaya semua yang berlaku ada hikmah,” katanya.

Elly ditemui pada sidang media pengumuman senarai Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 3.0 (ABPBH3.0) bertempat di Galeri Prima, NSTP Bangsar, pada Khamis.

Penyanyi lagu Bakawali dicalonkan untuk kategori Artis Sensasi Popular bersama empat calon lain iaitu Adira, Neelofa, Fattah Amin dan Uqasha Senrose

Sementara itu, Elly memberitahu kontroversi itu juga menguatkan semangatnya untuk kembali aktif dalam bidang seni.

“Cukuplah dua tahun dulu waktu masih bergelar isteri saya telah memperlahan karier saya hanya untuk memberi fokus pada rumah tangga.

“Selepas bercerai pula nama saya terpalit dengan pelbagai kontroversi. Namun berkat kesabaran, akhirnya saya terima banyak peluang untuk kembali aktif dalam dunia seni.

“Sekarang ini walaupun digelar artis 'drama queen' saya tetap gembira, kerana nama saya sensasilah saya berpeluang menaikkan kembali populariti saya,” jelasnya.

Teks oleh: Mya Amri