Pemandu kereta Ford Fiesta yang melarikan diri sebaik melanggar Nissan Almera di Kilometer 24 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, berdekatan Rawang, Ahad lalu telah ditahan polis semalam.

BACA: Kes Langgar Lari Di Lebuh Raya, Netizen Dedah Pemandu Ford Fiesta

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Kamaludin Mohamad berkata, suspek lelaki 20-an terbabit ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Rawang, 12 tengah hari semalam (Khamis).

Katanya, siasatan mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan itu berlaku pada 6.55 pagi.

"Kemalangan berlaku apabila pemandu Nissan Almera yang menghala dari Kepong ke Rawang dilanggar di belakang oleh kenderaan suspek yang melarikan diri.

"Bagaimanapun, kemalangan itu hanya mengakibatkan kerosakan kenderaan sahaja dan tiada kecederaan serius kepada dua pemandu kereta terbabit.

"Kejadian menjadi tular apabila video memaparkan kemalangan itu dimuatnaik di Facebook dan susulan itu suspek yang juga penjawat awam menyerah diri," katanya.

Menurutnya, suspek kini ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Rakaman video selama 41 saat terbabit memaparkan kereta dipercayai milik suspek dipandu laju sebelum merempuh kenderaan mangsa.

Bagaimanapun, suspek tidak menghentikan kenderaan selepas kemalangan dan terus memecut bagi melarikan diri.

Olahan oleh: Amri Hassan
Sumber: Harian Metro