Penyanyi Imran Ajmain telah merakamkan sebuah album mini Hari Raya sebagai tanda apresiasi untuk penulis lirik lagenda, Yusnor Ef.

Menurut Imran, Idea tersebut tercetus selepas pementasan Konsert Malam Aku, Dia dan Lagu yang merupakan tribut lagu-lagu Yusnor di Istana Budaya pada 11 April lalu.

Berkongsi cerita kerjasama spesial ini, pemuda berusia 36 tahun itu berkata, lagu-lagu di dalam album mini ini dipilih oleh Yusnor sendiri di samping mendapatkan khidmat pemuzik, Along Exists untuk susunan semula melodi.

“Alhamdulillah, proses rakaman yang diadakan selama dua hari sekitar Ramadan 2015 berjalan lancar. Susunan semula muzik bertujuan memberi nafas baharu terhadap lagu-lagu ini mengambil tempoh hanya sebulan.

“Bagaimanapun, Bersabarlah Sayang memberi cabaran kepada saya kerana lagu itu pernah dinyanyikan oleh seorang penyanyi hebat sebelum ini. Cuma saya agak gembira apabila Cikgu (gelaran Imran kepada Yusnor) mengatakan bahawa nyanyian saya berbeza.

“Sejujurnya, menyanyikan semula lagu klasik terutama menjadi siulan ramai bukan satu tugas yang mudah.

“Saya harus mengekalkan bunyi-bunyian tradisional. Dan waktu sama, susunan muzik harus kedengaran pleasant pada halwa telinga pendengar. Lantaran itu, sesiapa sahaja boleh menikmati lagu-lagu ini dalam versi terkini.” katanya.

Tambah Imran lagi, dia berasa teruja kerana dapat bekerjasama dengan orang yang dianggap sebagai mentornya.

“Saya teruja apabila diberi peluang untuk bekerjasama dengan Cikgu yang merupakan seorang seniman hebat dengan hasil karyanya masih diperdengarkan sehingga ke hari ini. Ia menjadi antara sejarah manis buat saya sebagai anak seni,” ujarnya.

Antara lagu yang bakal dirakamkan ialah Joget Aidilfitri, Bersabarlah Sayang serta Aidilfitri dendangan Indah Sanisah Huri dan Suasana Riang Di Hari Raya (Junainah M Amin).

Walaupun lagu itu dinyanyikan semula oleh Imran namun dia masih mengekalkan genre tradisional dengan pembaharuan susunan muzik sebagai tanda apresiasi buat idolanya.

Terdahulu, Imran dan Yusnor mempunyai hubungan kekeluargaan yang sangat akrab sejak berpuluh tahun lalu di mana datuk penyanyi itu merupakan sahabat baik kepada Yusnor sejak tahun 50-an lagi.

Lagu Joget Aidilfitri, Bersabarlah Sayang, Aidilfitri dan Suasana Riang Di Hari Raya ini boleh didapati dan dimuat turun menerusi Spotify di http://bit.ly/imranajmainaidilfitrispotify, Apple Music http://bit.ly/imranajmainaidilfitriapplemusic, iTunes http://bit.ly/imranajmainaidilfitriitunes dan JOOX http://bit.ly/imranajmainaidilfitriJOOX.

Sementara itu, video muzik Suasana Riang Di Hari Raya boleh ditonton di laman YouTube akaun Imran Ajmain.



Untuk sebarang pertanyaan atau informasi lanjut mengenai album mini Aidilfitri, boleh menghubungi Pegawai Perhubungan Awam dan Seranta Uprising Entertainment Sdn. Bhd, Faizal Saharuni di talian 0129787843 atau emel faizal.saharuni@uprising.com.my.