Pelakon Fazura mendedahkan sering mengajak aktor Fattah Amin meluangkan masa bersama sepanjang pengambaran drama terbaharu, Hero Seorang Cinderella.

Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 33, memberitahu dia melakukan aktiviti begitu adalah demi membina keserasian mereka berdua dalam menjayakan watak masing-masing bagi drama yang diadaptasi dari novel itu.

"Masa hari pertama penggambaran, saya nampak dia gementar. Saya pun gementar juga. Jadi saya pun cakap pada dia, kita kena banyak 'dating' berdua.

"Saya minta dia luangkan banyak masa dengan saya ketika di set penggambaran supaya kami dapat chemistry sebagai pasangan kekasih. Bukan senang untuk dapat keserasian itu.

"Jadi sepanjang di set kami selalu luangkan masa bersama, makan bersama dan berbual.

"Bagi saya, dengan cara itu mudah untuk kami berdua bina keserasian untuk watak masing-masing.

"Lagipun, sebelum ini ketika bergandingan dengan Keith Foo dalam filem Langit Cinta, saya buat perkara yang sama," katanya kepada Astro Gempak.

Fazura ditemui pada majlis pelancaran muzik video karaoke lagu Nothing Like Pag Ibig, berkolaborasi bersama penyanyi popular Filipina, Jason Dy.

Drama Hero Seorang Cinderella sebanyak 24 episod itu akan mula ditayangkan pada 22 Mei depan di Astro Ria.

Pun begitu, Fazura menegaskan kemesraannya dengan Fattah hanya sekadar di lokasi penggambaran sahaja.

"Kami hanya luang masa bersama sepanjang di lokasi saja dan apabila selesai penggambaran masing-masing buat hal sendiri. Kalau ada gosip tentang kami, bagi saya itu perkara biasa," katanya lagi.

Fazura dan Fattah bakal ke Belgium bagi menyambung penggambaran drama yang diarahkan Michael Ang itu pada 11 Mei ini.

Teks oleh Syafiqah Jalal