Seorang suami telah menceraikan isterinya gara-gara berang dengan tindakan pasangannya yang sibuk merakamkan gambar makanan untuk dimuat naik ke media sosial.

Kejadian berlaku di sebuah restoran di Amman, Jordan, apabila seorang wanita telah mencetuskan kemarahan suaminya semasa mereka sedang makan malam.

Lelaki tersebut telah dipaksa oleh isterinya untuk berhenti makan agar dia dapat merakam gambar makanan dan dikongsi di media sosial, Snapchat.

Menurut sumber, pasangan itu sedang makan malam di sebuah restoran mewah pada Sabtu lalu.

Kerana terlalu ramai pelanggan, mereka kemudian terpaksa menunggu selama setengah jam untuk makanan tiba dan perkara itu menyebabkan lelaki tersebut berasa terlalu lapar.

Bagaimanapun sebaik makanan tiba dan apabila hendak menyentuh makanan itu, isterinya meminta agar dia bersabar sementara dia merakam gambar makanan berkenaan.

Lelaki tersebut yang sudah hilang sabar dengan tindakan isterinya itu telah memarahinya dan keadaan mula menjadi tegang.

Suami tersebut kemudian meninggikan suara diikuti dengan lafaz talak sebelum meninggalkan restoran itu tanpa membayar harga makanan itu.

Sumber : Harian Metro