Seperti yang kita semua tahu, lima #lanunlawak berjaya menempatkan diri mereka ke gelanggang akhir Maharaja Lawak Mega (MLM) 2017 pada Jumaat ini.

Lima #lanunlawak tersebut ialah Dzawin, Zero, Shiro, Puteh dan Bocey selepas pengacara MLM 2017, Datuk AC Mizal mengumumkan kesemua peserta layak beraksi di pentas akhir, yang bakal berlangsung di Jitra Kedah.

Mengakui merasai debaran ke pentas final, ini kata lima #lanunlawak yang bakal merebut gelaran juara MLM 2017 sekaligus membawa pulang wang tunai berjumlah RM500,000.

1) Dzawin


“Ketika Datuk AC panggil saya ke depan, saya fikir perjalanan saya tamat di sini (minggu separuh akhir), tetapi masih ada rezeki saya. Mara ke final sudah cukup baik untuk saya kerana tidak pernah menjangkakan akan bertahan sehingga ke tahap ini. Jika ditanya adakah saya berharap untuk bergelar juara, saya tidak pernah fikirkan tentang itu, apa yang saya tahu saya akan fokus dan lakukan yang terbaik.”

2) Zero


“Pertama sekali terima kasih kepada semua yang telah menyokong kami sehingga ke tahap ini. MLM 2017 banyak mengajar kami, lebih-lebih lagi ketika ditimpa kontroversi di awal minggu dahulu. Ini kali kedua kami ke pentas final MLM dan bakal melakukan persediaan lebih awal. Tidak dinafikan persaingan kali ini sangat sengit dan sukar untuk kami jangkakan siapa yang bakal bergelar juara.”

3) Shiro


“Kami mengaku melalui saat-saat sukar dan tertekan pada minggu suku akhir MLM 2017. Alhamdulillah, sokongan daripada semua membawa kami ke gelanggang final. Kali ini, kami akan lakukan sehabis baik kerana kami sahaja kumpulan yang pernah sampai ke final semua MLM tapi belum pernah bergelar juara. Bagaimanapun, kami berserah kepada rezeki.”

4) Puteh


“Ini kali kedua kami berjaya menjejakkan kaki di pentas final MLM. Sejujurnya, tahun ini kami tidak menjangka akan pergi sejauh ini kerana kesemua peserta berpengalaman dan hebat-hebat belaka. Persembahan di gelanggang akhir nanti, kami harap penonton akan enjoy dan terhibur dengan lawak yang akan kami sajikan.”

5) Bocey


“Kalau boleh, di pentas final MLM 2017 kami mahu tampilkan kelainan. Mara ke pusingan akhir adalah sesuatu yang amat melegakan kerana kami tidak yakin pada awalnya. Kami Cuma berharap persembahan di malam final nanti menjadi.”

Gelanggang akhir MLM 2017 bakal menyaksikan lima #lanunlawak berentap di dua pusingan bertemakan Bebas dan Muzikal.

Mengangkat tema ‘Lanun’ sebagai imej, MLM 2017 menawarkan hadiah lumayan bagi juara pertandingan iaitu wang tunai sebanyak RM500,000 beserta trofi. Naib juara pula bakal merangkul wang tunai sebanyak RM250,000 beserta trofi dan RM150,000 beserta trofi menanti pemenang tempat ketiga. Manakala tempat keempat dan kelima masing-masing akan membawa pulang RM50,000 dan RM25,000 beserta trofi.



Penonton boleh menyaksikan siaran langsung MLM 2017 atau mendapatkan informasi terkini menerusi portal hiburan rasmi, Astro Gempak (www.astrogempak.com.my) atau laman web www.maharajalawakmega.com.my (juga boleh mengundi peserta Gempak Man of The Match anda di sini).

Selain itu, penonton boleh juga mengikuti Twitter (@maharajalawakmega) serta akaun Instagram @AstroGempak @ZonLawak @maharajalawakmega untuk dapatkan live update mengenai MLM 2017 satu jam sebelum bermula rancangan.

Sinar fm juga turut menghulurkan sokongan padu mereka yang tidak berbelah bahagi bagi menjayakan musim ini selaku Radio Rasmi, manakala Raku bertindak sebagai Radio Digital.