Pelawak Azlee Senario menasihatkan pelawak baru supaya mengelak daripada membuat lawak berunsur lucah atau mempersendakan nama seseorang untuk menjaga sensitiviti masyarakat.

Menurut Azlee, pelawak perlu lebih berhati-hati mengeluarkan perkataan kerana khuatir akan menyinggung perasaan orang lain.

“Program lawak ditonton oleh semua lapisan masyarakat, sebab itu kita perlu menjaga sensitiviti dan elakkan lawak berbaur lucah.

“Banyak lagi topik lain yang boleh digunakan sebagai contoh lawak 'kampung' pun orang suka. Yang penting bijak memilih jalan cerita dan menyusun dialog.

“Sama juga seperti lawak mempersendakan nama orang, kadang-kadang kita tidak tahu lawak yang disampaikan itu akan menyinggung perasaan mereka,” katanya.

Azlee ditemui selepas sidang media program baru terbitan Astro, Konsert Komedi bertempat di TREC, Kuala Lumpur, petang Selasa.

Mengulas mengenai isu melibatkan pengacara rancangan Sukan Tak Sentral, Ammar berkenaan kontroversi mempersendakan nama mendiang bapa bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek, Azlee berkata perkara itu haruslah dijadikan iktibar.

“Bila bercakap kena berhati-hati, lebih-lebih lagi pada orang yang pernah mengharumkan nama negara, tidak elok persendakan nama bapanya.

“Saya pasti perkara itu berlaku secara spontan dan insiden ini perlu menjadi pengajaran supaya perkara yang sama tidak berulang,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Senario terlibat dengan program terbaru Astro, Konsert Komedi.

Konsert Komedi akan bersiaran setiap Jumaat bermula 12 Mei depan jam 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

Siaran ini juga boleh ditonton melalui platform Astro Go dan Astro On Demand.

Teks oleh: Mya Amri