Dua orang pelajar Malaysia berjaya meraih pingat emas dalam Pertandingan Matematik Dunia ke-14 2017 yang berlangsung di Manila, Filipina.

Menurut Utusan Borneo Online, Jad Haris Sabaruddin, 12, dan Najmi Asyraaf Abdul Halim, 10, mewakili pasukan Sarawak dan telah menjadi rakyat Malaysia pertama yang memenangi pingat emas di kejohanan itu.

Peserta lain dari Malaysia turut memenangi empat pingat perak dan 18 gangsa.

Jad berkata kemenangan itu merupakan hasil pengorbanan dan usaha yang berterusan.

“Latihan berterusan, sokongan daripada kedua-dua ibu bapa saya selain semangat untuk terus bersaing tanpa mengenal kalah, itulah rahsia kejayaan saya,” katanya yang teruja dengan pencapaian tersebut.

Pertandingan bertaraf dunia itu pada asalnya diperkenalkan oleh Sistem Pendidikan Sakamoto yang berpangkalan di Singapura dengan kerjasama Sakamoto Seminar Jepun.

Sumber : Astro Awani