Seramai 27 penumpang syarikat penerbangan Aeroflot cedera, selain ada di antara mereka yang patah tulang apabila tercampak ke siling kapal terbang tersebut.

Kejadian menakutkan itu berlaku pada pesawat yang dalam penerbangan dari Moscow, Russia menuju ke Thailand.

Juruterbang pesawat dikatakan tidak sempat memberi amaran kepada penumpang kerana pergolakan udara yang berlaku secara tiba-tiba.

Seorang pegawai kedutaan Russia di Bangkok melaporkan, 24 penumpang warga Russia dan tiga warga Thailand cedera dalam kejadian itu.

“Seramai 15 penumpang warga Russia dan dua warga Thailand masih dirawat di hospital, manakala selebihnya sudah dibenarkan keluar,” jelasnya kepada media.

Menerusi satu rakaman video yang dikongsi oleh salah seorang penumpang, keadaan di dalam pesawat tersebut menjadi huru-hara dan ada penumpang yang dilihat terbaring cedera di lantai dengan kesan darah.

“Kami terpelanting ke siling pesawat dan sangat mustahil untuk kami bertahan," kata seorang penumpang yang berada di dalam pesawat.

Kedutaan Russia di Bangkok, sebahagian mangsa dirawat di hospital akibat beberapa kecederaan terutama patah dan retak tulang tetapi tiada mangsa yang dilaporkan maut dalam kejadian tersebut.

Sumber : 9news.com
Olahan : Izzat Ridzwan