Program terbaru Astro, Konsert Komedi bakal menyaksikan penglibatan pelawak terkenal seperti Senario, Shiro, Sepahtu dan Nabil membuktikan kehebatan vokal mereka.

Menurut Ketua Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, program ini memberikan kebebasan kepada pemain komedi untuk menampilkan sebuah persembahan mengikut kreativiti masing-masing.

“Mereka diberi kepercayaan penuh untuk mengemudi episod mereka sendiri daripada undangan selebriti hinggalah gaya persembahan.

“Mereka bebas membuat keputusan sendiri asalkan terdapat dua elemen utama, nyanyian dan sketsa.

“Pemain komedi merupakan individu yang sangat kreatif jadi kami ingin memberi peluang kepada mereka untuk bebas berkarya,” katanya pada sidang media Konsert Komedi bertempat di TREC, Kuala Lumpur petang Selasa.

Selain Senario, Shiro, Sepahtu dan Nabil, antara pelawak lain yang terlibat ialah Bocey, Datuk Ac Mizal, Zero serta kumpulan Baik Punya Cilok yang terdiri daripada Afdlin Shauki, Hans Isaac dan Datuk Awie.

Konsert Komedi menyaksikan persembahan nyanyian eksklusif itu akan diselangi dengan sketsa sama ada secara solo mahupun berkumpulan bersama selebriti undangan mereka.

Antaranya Erra Fazira, Stacy, Siti Nordiana, Misha Omar dan Indah Ruhaila.

Program yang bersiaran sebanyak lapan episod ini akan diiringi oleh ‘live band’ iringan Pengarah Muzik terkenal, Datuk Ramli MS.

Konsert Komedi akan bersiaran setiap Jumaat bermula 12 Mei depan jam 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

Siaran ini juga boleh ditonton melalui platform Astro Go dan Astro On Demand.