Polis Indonesia belum menemui sebarang bukti mengaitkan pelakon, Khaeryll Benjamin Ibrahim, 39, dengan mana-mana sindiket pengedaran dadah.

Ketua Penolong Pengarah Narkotik Polis Sumatera Utara, Ilman Wijaya berkata, pihaknya masih menyiasat perkara itu dan bekerjasama dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Medan.

"Benjy hanya mempunyai alibi pergi mencari seorang juruhebah di Medan, tetapi tiada bukti lain didapati daripadanya," katanya seperti dilapor Nasional Republika.

Menurutnya lagi, sejak ditahan tiada anggota keluarga datang melawat pelakon berkenaan, hanya konsulat Malaysia yang menemuinya di Ibu Pejabat Polis Sumatera Utara pada Jumaat lalu.

"Selepas kami menimbang berat syabu yang disembunyikan dalam duburnya, ternyata hanya 4.5 gram saja berbanding sebelum ini kami nyatakan seberat 14 gram.

"Benjy turut mengakui mengedar dadah demi mencari wang membiayai kos rawatan ibunya yang menghidap kanser payudara," katanya.

Benjy ditahan kastam republik itu pada 18 April lalu di Lapangan Terbang Kualanamu, Medan.

Sumber: Metro Ahad