Kumpulan nasyid Hijjaz akan tetap mengekalkan indentiti tersendiri biarpun diberi tugas untuk menyampaikan lagu genre berbeza dalam Gema Gegar Vaganza (GGV).

"Kami faham konsep yang diketengahkan dalam GGV. Sudah namanya pertandingan, pastinya ada cabaran.

"Kami akan cuba membawakan lagu genre lain dengan sebaik mungkin. Dalam masa yang sama, kami akan tetap mengekalkan identiti kami sebagai Hijjaz," kata Ariffin mewakili Hijjaz.

Sering mendapat tempat teratas dalam persembahan saban minggu, Hijjaz bersyukur dan mahu mengekalkan momentum mereka.

"Kami bersyukur kerana setiap minggu, persembahan kami berjaya menambat hati juri. Kami mahu memberikan yang terbaik setiap minggu dan mengekalkan prestasi yang ditonjolkan," katanya lagi.

Gema Gegar Vaganza bersiaran setiap Sabtu, jam 9.00 malam bermula 8 April di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

Bersiaran langsung di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Gema Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai pengacara.

Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza.

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GGV, mahu menonton video-video persembahan peserta dan ingin mendapatkan lebih info mengenai program ini dan, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my atau gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal