Kumpulan nasyid UNIC tidak menyangka program Gema Gegar Vaganza menjadi trending semenjak bersiaran empat minggu lalu.

"Kami tak sangka yang GGV menjadi topik bualan orang ramai sehingga trending di media sosial. Ada yang memberikan galakan positif, ada juga yang memberikan kritikan terhadap program ini.

"Walaupun wujudnya kecaman, kami mengambil positif perkara tersebut. Bila ada orang yang berkata mengenai GGV, maknanya mereka mengikuti perkembangan program ini," kata Najdi kepada Astro Gempak.

Turut dianggotai oleh Bazli dan Fakhrul, UNIC menerima banyak peminat baru selepas wujudnya program GGV.

"Selain mengubat kerinduan peminat lama, kami juga mengumpul kelompok peminat baru.

"Khas untuk semua peminat, kami akan sentiasa muncul dengan idea segar agar dapat memberi pembaharuan terhadap setiap persembahan kami," kata Fakhrul pula.

Gema Gegar Vaganza bersiaran setiap Sabtu, jam 9.00 malam bermula 8 April di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

Bersiaran langsung di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Gema Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai pengacara.

Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza.

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GGV, mahu menonton video-video persembahan peserta dan ingin mendapatkan lebih info mengenai program ini dan, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my atau gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal