Vokalis kumpulan EYE, Izam menjelaskan yang kumpulan EYE masih wujud dan belum berpecah.

"Ramai orang anggap kumpulan EYE sudah tiada. Kami masih wujud tetapi memperlahankan kerjaya seni kerana masing-masing mempunyai komitmen tersendiri.

"Antara salah satu sebab saya menyertai program Gema Gegar Vaganza (GGV) adalah kerana untuk menaikkan semula nama EYE.

"Peluang yang ada selepas ini kami gunakan untuk menaikkan semula nama EYE untuk menyemarakkan lagi industri muzik tanah air," kata Izam kepada Astro Gempak.

Bakal muncul dengan single terbaru, kumpulan EYE masih mengekalkan konsep muzik yang sama.

"Konsep dan cara muzik kami akan kekal sama seperti dahulu. Apa yang berbeza hanyalah pengisian lagu.

"Jika dahulu kumpulan EYE menyanyikan lagu yang berkisarkan mengenai cinta dan sebagainya. Selepas ini, EYE akan muncul dengan lagu ketuhanan atau kemanusiaan," katanya lagi.

Izam menjadi bintang kedua yang tersingkir di minggu ketiga GGV.

Gema Gegar Vaganza bersiaran setiap Sabtu, jam 9.00 malam bermula 8 April di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

Bersiaran langsung di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Gema Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai pengacara.

Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza.

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GGV, mahu menonton video-video persembahan peserta dan ingin mendapatkan lebih info mengenai program ini dan, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my atau gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal