Penyanyi Wani mahu meningkatkan prestasi persembahannya dalam program Gema Gegar Vaganza (GGV).

Minggu kedua dan ketiga GGV menyaksikan Wani berada di kedudukan dua terbawah.

"Alhamdulillah, saya masih bertahan di GGV. Walaupun dua minggu berturut-turut saya di posisi Bottom 2, rezeki masih menyebelahi saya.

"Saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk menonjolkan kebolehan serta bakat saya di pentas GGV. Saya mengambil positif semua kritikan juri kerana mereka lebih berpengalaman," kata Wani kepada Astro Gempak.

Bakal menyampaikan lagu Kun Anta di minggu keempat, Wani akan membawakan sebuah persembahan yang berbeza.

"Nama saya mula dikenali selepas saya menyanyikan semula lagu Kun Anta dan memuat naik video tersebut di laman YouTube satu ketika dahulu.

"Insya-Allah untuk persembahan minggu keempat, saya akan cuba memberikan sesuatu yang berbeza," katanya lagi.

Gema Gegar Vaganza bersiaran setiap Sabtu, jam 9.00 malam bermula 8 April di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

Bersiaran langsung di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Gema Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai pengacara.

Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza.

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GGV, mahu menonton video-video persembahan peserta dan ingin mendapatkan lebih info mengenai program ini dan, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my atau gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal