Pelakon Shahz Jaszle mengakui sukar untuk membawakan watak dalam filem terbarunya yang berjudul Lebuhraya Ke Neraka.

Menjalani penggambaran lebih enam tahun lalu, filem ini akhirnya ditayangkan pada 4 Mei ini.

"Filem ini merupakan filem lakonan terawal saya. Ketika ini, saya masih baru dalam dunia seni.

"Berlakon filem bukannya mudah. Sukar untuk saya membawakan watak sebagai Jeff kerana karakter tersebut memerlukan permainan emosi.

"Dengan bantuan pengarah, pelakon lain dan tenaga produksi, akhirnya saya berjaya membawakan watak tersebut dengan jayanya," kata Shahz.

Tambah Shahz, dia rasa berbesar hati kerana dapat berlakon di bawah arahan pengarah tersohor, Mamat Khalid.

"Siapa tak mahu berlakon dengan pengarah prolifik seperti Mamat? Dia merupakan seorang pengarah yang sangat berpengalaman dan mempunyai portfolio yang sangat bagus.

"Mamat banyak memberi tunjuk ajar kepada saya dan pelakon lain di set penggambaran Lebuhraya Ke Neraka," katanya lagi.

Selain Shahz, Lebuhraya Ke Neraka menampilkan Datuk Awie, Miera Leyana, Dazrin Kamarudin, Khir Rahman dan ramai lagi. Filem ini akan ditayangkan bermula 4 Mei ini.

Teks oleh: Kamaruddin Razal