Dua orang bakat baru yang terkenal dengan lagu balada ala 90-an, Tajul dan Wany Hasrita kini muncul dengan sebuah lagu duet baru.

Menerusi lagu Disana Cinta Disini Rindu, mereka berpadu suara dan mengembalikan ingatan pendengar terhadap zaman kegemilangan lagu-lagu duet dendangan Allahyarham Achik Spin dan Siti Nordiana.

Dilancarkan di laman YouTube pada minggu lalu, video lirik lagu Disana Cinta Disini Rindu kini meraih lebih 2.8 juta tontonan.

Apa yang menariknya, lagu Disana Cinta Disini Rindu merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Patrick Kamis. Patrick merupakan komposer yang banyak mencipta lagu duet popular nyanyian Allahyarham Achik Spin dan Siti Nordiana.

Sebelum ini, Tajul yang juga merupakan adik kepada Allahyarham Achik Spin meraih percikan populariti menerusi single pertamanya yang berjudul Sedalam-dalam Rindu. Lagu tersebut merupakan hasil ciptaan Alam dan lirik oleh Bazil dan Iwan.

Sehingga kini, video lirik Sedalam-dalam Rindu meraih 18.6 juta tontonan manakala muzik video Sedalam-dalam Rindu meraih 14.3 juta tontonan di laman YouTube.

Wany yang bakatnya dicungkil menerusi aplikasi nyanyian Smule pula mula menggegarkan dunia hiburan dengan single pertamanya yang berjudul Menahan Rindu. Single tersebut merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Ibnu dan Gouffran.

Video lirik Menahan Rindu yang dimuat naik di laman YouTube kini meraih hampir 3.1 juta tontonan manakala muzik video Menahan Rindu pula mendapat 10 juta tontonan.

Teks oleh: Kamaruddin Razal