Pelakon veteren Bollywood, Vinod Khanna telah meninggal dunia akibat penyakit kanser.

Vinod Khanna, 70 telah menghembuskan nafas terakhir di salah sebuah hospital di Mumbai, India semalam (Khamis).

Aktor yang popular menerusi filem ”Amar Akhbar Anthony” ini telah menerima rawatan di hospital sejak sebulan lalu.

Menurut laporan Hindustan Times, Vinod disahkan meninggal dunia pada jam 11.20 pagi dan ahli keluarganya turut berada disisinya ketika itu.

Sebelum ini, Vinod yang pernah digandingkan dengan Amitabh Bachchan telah berlakon lebih 100 judul filem.

Mula menceburkan diri dalam dunia perfileman pada 1968, nama Vinod sememangnya tidak asing di mata peminat sekitar tahun 70-an dan 80-an.

Selain berlakon, ayah kepada pelakon Akshaye Khanna ini juga aktif dalam bidang politik.

Vinod juga telah menang dalam empat pilihan raya dan pernah memegang jawatan sebagai menteri di Kementerian Luar India.


Sumber : Hindustan Times
Foto : Thedailystar.net
Olahan : Izzat Ridzwan