Penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia 2013 (AF 2013), Nabila Razali, 25, melancarkan muzik video bagi single keduanya berjudul Cemburu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong selepas setahun lagu tersebut dilancarkan.

“Saya akui, lagu ini mengambil masa untuk mencuri hati pendengar. Selepas beberapa bulan dilancarkan, barulah lagu ini berjaya menembusi siaran radio tempatan.

“Tepat setahun lagu itu dilancarkan, pihak syarikat rakaman, Seventeen Eleven Music bersetuju untuk menerbitkan sebuah muzik video melihatkan kepada sambutan yang diterima,” kata Nabila.

Menerusi muzik video berdurasi kira-kira tiga minit itu, Nabila menampilkan rakan baiknya semenjak terlibat dalam AF 2013, Hael Husaini dan Indah Ruhaila serta dua orang bakat baru, Zera Hariz dan Aidil Maula.

“Muzik video ini mengangkat nilai persahabatan dan komedi. Saya memilih konsep muzik video yang ceria dan ringan selain mahu melibatkan sahabat-sahabat baik saya, Hael dan Indah," ujarnya.

Muzik video hasil karya Rio Production ini menjalani penggambaran selama satu hari di sekitar Subang dan Putrajaya.

“Alhamdulillah, selepas dilancarkan, ramai yang memberikan maklumbalas yang sangat baik. Sehingga kini, muzik video saya sudah mencecah hampir setengah juta tontonan di laman YouTube.

“Pada awalnya saya ragu-ragu dan merasakan seperti sudah terlewat kerana lagu itu sudah lama dilancarkan. Namun begitu, saya sangat bersyukur kerana rata-rata komen yang ditinggalkan penonton selepas melihat muzik video itu positif dan memberikan semangat kepada saya," katanya.

Dalam perkembangan lain, drama bersiri pertama lakonan Nabila, Hikayat Cinta Si Pematah Hati bersama penyanyi Alif Satar sedang hangat ditayangkan di kaca televisyen.

Selain Nabila dan Alif, drama bersiri ini turut menampilkan pelakon seperti Hafreez Adam, Fezrol Khan, Yaya Zahir dan ramai lagi.

Jangan lupa untuk menonton drama bersiri Hikayat Cinta Si Pematah Hati yang mula bersiaran pada 24 April jam 10.00 malam, setiap Isnin hingga Khamis hanya di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Teks oleh: Kamaruddin Razal