Atlet elit paralimpik negara, Abdul Latif Romly, 20, melakar sejarah sebagai atlet kelainan upaya pertama dipilih untuk menerima anugerah sebagai Olahragawan Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara 2016 (ASN 2016).

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan menyampaikan piala pusingan, piala iringan, sijil dan wang tunai RM20,000 masing-masing kepada Abdul Latif dan Siti Rahmah.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Pemilihan tersebut diputuskan Jawatankuasa Pemilihan ASN 2016 berdasarkan kejayaan cemerlang atlet dari Perlis itu meraih pingat emas, sambil tiga kali memperbaiki rekod dunia dan juga rekod baharu Sukan Paralimpik.

Pada Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil, tahun lepas, Abdul Latif yang beraksi dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) berjaya memperbaharui rekod dunia miliknya iaitu 7.35 meter yang dicatat pada Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Doha, Qatar pada 2015 manakala rekod Sukan Paralimpik iaitu 7.25m dipegang Jose Antonio Exposito Pineiro dari Sepanyol pada Sukan Paralimpik London 2012.

Di Rio, atlet dari Kampung Paya Kelubi, Bukit Keteri, Arau itu kali pertama mengatasi rekod dunia lamanya dengan catatan 7.47m pada percubaan kedua, diikuti 7.54m pada percubaan berikutnya sebelum memperbaikinya pada lompatan kelima pada jarak 7.60m.

Selain Latif, pesilat, Siti Rahmah Mohamed Nasir juga turut dinobatkan Olahragawati Kebangsaan manakala Atlet Paralimpik wanita, Siti Noor Radiah Ismail sebagai Olahragawati Paralimpik Kebangsaan dan turut menerima hadiah wang tunai RM20,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil.

Bagaimanapun, kali ini tiada penerima untuk Olahragawan Paralimpik.

Dalam pada itu, Penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Tun Jeanne Abdullah dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja''afar dinobatkan sebagai Tokoh Sukan di atas jasa mereka dalam pembangunan sukan negara.

Mereka masing-masing menerima piala iringan dan sijil daripada Yang Di-Pertuan Agong.

Berikut merupakan senarai penerima anugerah:

1. Olahragawan Kebangsaan: Abdul Latif Romly (Olahraga - Para)

2. Olahragawati Kebangsaan: Siti Rahmah Mohamed Nasir (Silat)

3. Olahragawan Paralimpik Kebangsaan: Tiada

4. Olahragawati Paralimpik Kebangsaan: Siti Noor Radiah Ismail (Olahraga - Para)

5. Pasukan Lelaki Kebangsaan: Tan Wee Kiong dan Goh V Shem (Badminton)

6. Pasukan Wanita Kebangsaan: Pandelela Rinong Pamg dan Cheong Jun Hoong (Terjun)

7. Jurulatih Lelaki Kebangsaan: R. Jaganathan (Olahraga - Para)

8. Jurulatih Wanita Kebangsaan: Chin Eei Hui (Badminton)

9. Anugerah Kepimpinan Sukan: Tan Sri Mohd Ali Rustam (PESAKA) dan N. Shanmugarajah (MGF)

10. Anugerah Tokoh Sukan: Tun Jeanne Abdullah (Majlis Paralimpik Malaysia) dan Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja''afar (Majlis Olimpik Malaysia)

11. Anugerah Khas: Datuk Dina Rizal (Sports Unite) dan Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani (Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak)

Sumber: Bernama