Peserta Rockanova, Erman akui hilang fokus kerana masalah teknikal yang dihadapi ketika menyampaikan lagu berjudul Andaiku Bercinta Lagi nyanyian asal Mojo di konsert kelima semalam.

Erman atau nama sebenarnya Ermanshah Endal, 32, meluahkan rasa terkilan dan tidak berpuas hati dengan persembahannya.

“Sebenarnya saya tak sangka akan tersingkir kerana lagu itu merupakan lagu kegemaran dan saya yakin mampu membawakan lagu itu dengan baik.

“Tapi tak sangka lain pula jadinya apabila berlaku kesilapan teknikal dan saya tak boleh nak halang daripada berfikir mengenai hal tersebut.

“Terus-terang saya katakan kesilapan besar saya adalah hilang fokus, sebenarnya saya tak mahu cerita sebab takut orang kata saya bagi macam-macam alasan kerana tersingkir.

“Tapi itulah hakikatnya dan demi tuhan perkara itulah yang buat saya hilang fokus. Bila receiver monitor itu jatuh, saya rasa tak selesa.

“Panik sebab tak boleh dengar bunyi muzik dan saya redha saja. Kesal memang kesal sebab kesilapan sendiri tapi nak buat macam mana, perkara macam tu memang kita tak boleh jangka. Inilah yang dikatakan tiada rezeki,” jelasnya kepada Astro Gempak.



Erman ditemui sejurus tamat konsert kelima Rockanova yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, pada Rabu.

Peserta berasal dari Sabah ini tersingkir selepas mendapat undian terendah sebanyak 32.18 peratus.

Minggu keenam bakal menyaksikan tujuh peserta Rockanova bersaing dengan tema Rock karya

Rockanova diterajui oleh Alif Satar dan Sherry Alhadad selaku pengacara dan menampilkan dua juri tetap, Datuk Awie dan Edry Abd Halim.

Manakala pelakon Nabila Huda hadir sebagai juri jemputan.

Minggu kelima Rockanova menyaksikan para peserta bersaing dengan tema Maharaja Rock.

Rockanova bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB setiap Rabu.

Program tersebut boleh ditonton setiap Rabu, jam 9.30 malam menerusi Saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).

Manakala diari harian Rockanova, Rock On boleh disaksikan Isnin dan Selasa, jam 9.00 malam di Astro Prima (saluran 105).

Untuk melihat berita terkini dan perkembangan lain serta mengundi peserta kegemaran anda klik link ini ----> (ROCKANOVA).

Teks Oleh: Mya Amri