Penyanyi popular Dayang Nurfaizah menjelaskan dia berasa kecewa apabila album terbaharunya menjadi mangsa gejala cetak rompak.

Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 35, berkata, dia akur dengan kemajuan teknologi dan berhasrat untuk mendidik peminat supaya membantu membanteras masalah itu.

"Saya redha dengan dugaan ini apabila album yang baru dilancarkan telah dicetak rompak oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Sudah semestinya perasaan terkilan itu ada kerana kami telah meletakkan sepenuh tenaga dan masa untuk album ini.

"Saya juga berharap agar peminat dapat membanteras gejala cetak rompak ini dengan menyokong produk yang original.

"Mungkin saya akan cuba untuk mendekati peminat melalui media sosial supaya dapat mendidik mereka dengan lebih mesra dan dekat," katanya kepada Astro Gempak.

Dayang berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Nova 2017 yang diadakan di Hotel Royale Chulan, Selasa.

Konsert Nova 2017 bakal menampilkan penyanyi Judika, Cakra Khan, Faizal Tahir, Azlan & The Typewriter dan Syahrini yang akan diadakan pada 5 Ogos depan di Stadium Malawati, Shah Alam.

Konsert ini merupakan sambutan ulang tahun ke-60 hubungan antara Malaysia dengan Indonesia.

Untuk maklumat lanjut melalui konsert boleh melayari laman web www.konsertnova.com atau mengikuti media sosial Konsert Nova di Facebook dan Instagram.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi