Raih Trofi AME 2017, Fasha Sandha Terkejut

26 April 2017. 3.20 PM
2,711
Hiburan
Raih Trofi AME 2017, Fasha Sandha Terkejut

Pelakon Fasha Sandha terkejut dan tidak menjangkakan kemenangannya di malam Anugerah MeleTOP Era 2017 (AME 2017) yang berlangsung pada Ahad lalu.

Meraih trofi Bintang Filem MeleTOP menerusi karya Anak Mami Nasi Kandaq, Fasha bersyukur atas kemenangan tersebut.

"Sejujurnya saya terkejut dan tidak sangka akan meraih trofi malam ini. Kali terakhir saya menang anugerah adalah pada enam tahun lalu.

"Alhamdulillah, saya memanjatkan rasa syukur kepada Allah. Terima kasih kepada peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan.

"Saya menjadikan kemenangan pada malam ini sebagai pembakar semangat agar saya dapat memberikan kualiti kerja terbaik kepada semua peminat yang menjadi nadi kerjaya saya," kata Fasha kepada Astro Gempak.

Tambah Fasha, populariti drama rantaian Lara Aishah serta pengorbanannya memotong rambut pendek untuk filem Badang The Movie turut menjadi faktor penting peminat memilihnya untuk dinobatkan sebagai Bintang Filem MeleTOP.

"Saya merasakan dua perkara tersebut turut memainkan peranan penting dalam kemenangan saya. Terima kasih kepada semua peminat yang memilih saya.

"Biarpun saya masih lagi mahu cuba untuk membiasakan diri dengan imej rambut pendek, rezeki saya semakin mencurah selepas saya mengorbankan rambut saya untuk filem Badang The Movie.

"Walaupun ramai yang suka dengan imej ini, saya tetap mahu kembali kepada imej rambut panjang," katanya lagi.

Anugerah MeleTOP ERA 2016 dihoskan oleh Johan, Nabil Ahmad dan Neelofa bersiaran secara langsung pada Ahad lalu di Stadium Melawati, Shah Alam menerusi saluran Astro Ria (104), serta siaran serentak di Ria HD (saluran 123) bermula jam 9.00 malam.

Teks oleh: Kamaruddin Razal

Foto: Instagram @fashasandha & @kaki5photo


Artikel Berkaitan


Komen