Kumpulan nasyid UNIC menyifatkan program Gema Gegar Vaganza (GGV) sebagai satu platform serius untuk mereka menonjolkan bakat dan kebolehehan.

Tidak pernah memandang ringan persaingan peserta lain, GGV bukan medan permainan untuk mereka.

"GGV adalah medan untuk kami dan peserta lain menonjolkan bakat. Walaupun ada yang melihat kami hanya menyanyi dan kadangkala berlawak di atas pentas, kami mengambil ini sebagai satu perkara serius.

"Kami bukan hanya sekadar menyanyi, setiap tanggungjawab yang diberikan kami ambil serius. GGV bukan medan permainan dan kami akan berusaha memberikan persembahan terbaik setiap minggu," kata Fakhrul mewakili UNIC.

Turut dianggotai oleh Bazli dan Najdi, UNIC melakukan kajian terhadap trend anak muda masa kini.

"Jika peminat melihat kami menyelitkan pick up line dan sedikit lawak di atas pentas, itu merupakan trend masa kini.

"Sebelum membuat sesuatu perkara, kami telah terlebih dahulu mengkaji apa yang anak muda masa kini gemarkan. Perkara seperti pick up line, lawak dan sebagainya telah menjadi hiburan anak muda zaman sekarang.

"Kami hanya menyelitkan perkara tersebut sebagai seni dalam dakwah. Kami melakukan perkara tersebut juga berpada-pada, asalkan apa yang disampaikan tidak berlebihan dan dapat diterima ramai," kata Najdi pula.

Gema Gegar Vaganza bersiaran setiap Sabtu, jam 9.00 malam bermula 8 April di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

Bersiaran langsung di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Gema Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai pengacara.

Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza.

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GGV, mahu menonton video-video persembahan peserta dan ingin mendapatkan lebih info mengenai program ini dan, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my atau gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal