Pelakon dan pengarah, Erma Fatima akui bidang lakonan bukan cita-cita yang diimpikan.

Erma Fatima berkata dia sendiri tidak pernah terfikir akan menceburi bidang seni tersebut dan bakal segera bersara.

"Sejak saya kecil saya tidak pernah terfikir pun hendak jadi pelakon, malah ia bukan bidang yang menjadi impian saya.

"Jadi bila saya sudah jadi pelakon, saya sediakan diri saya untuk jadi pengarah dan produser filem.

"Selepas duduk di kerusi produser, saya akan membuat persiapan diri untuk bersara pula.

"Saya tak mahu hidup saya dari muda sampai ke tua berada di set lakonan dari pagi sampai ke malam," katanya kepada Astro Gempak.

Menurut Erma lagi, dia percaya penonton juga bakal bosan jika seseorang pelakon itu kerap muncul di kaca televisyen.

"Saya sudah lama tinggalkan bidang lakonan dan bila orang nampak saya muncul dalam drama Mak Cun, mereka fikir saya buat comeback.

"Tapi sebenarnya saya berlakon atas permintaan pihak stesen televisyen ini sahaja untuk mengembangkan watak Mak Cun.

"Lagipun saya percaya jika seorang pelakon itu sering muncul di kaca tv ia bakal membuat penonton bosan," katanya lagi.

Teks oleh Syafiqah