Penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan mengakui rahsia suaranya yang merdu disebabkan oleh memakan sambal pedas secara berlebihan sebelum menyanyi.

Cakra ketika ditemui berkata, dia akan membawa bekalan sambal secukupnya dari Indonesia setiap kali mahu mengadakan persembahan.

"Saya akan memastikan bekalan cili yang dibawa itu cukup pedas dan selalunya akan dibawa dari Indonesia kerana sambal di Malaysia kurang pedas.

"Itu memang perkara wajib dilakukan oleh saya sebelum mengadakan persembahan untuk konsert yang berskala besar.

"Saya akan makan makanan pedas terlebih dahulu sebelum mengadakan persembahan untuk mendapatkan suara yang merdu ketika menyanyi di pentas.

"Sebagai persediaan saya juga telah memberitahu pihak penggurusan untuk menyediakan bekalan cili jika saya tertinggal sambal tersebut," katanya kepada Astro Gempak.

Cakra berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Nova 2017 yang diadakan di Hotel Royale Chulan, Selasa.

Konsert Nova 2017 bakal menampilkan penyanyi Judika, Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir, Azlan & The Typewriter dan Syahrini yang akan diadakan pada 5 Ogos depan di Stadium Malawati, Shah Alam.

Konsert ini merupakan sambutan ulang tahun ke-60 hubungan antara Malaysia dengan Indonesia.

Untuk maklumat lanjut melalui konsert boleh melayari laman web www.konsertnova.com atau mengikuti media sosial Konsert Nova di Facebook dan Instagram.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi