Penyanyi Siti Nordiana tidak menjangkakan dirinya dapat membawa pulang trofi Penyanyi MeleTOP di malam Anugerah MeleTOP Era 2017 (AME 2017) yang berlangsung pada Ahad lalu.

Menewaskan nama besar seperti Datuk Siti Nurhaliza dan penyandang trofi Penyanyi MeleTOP AME 2016, Ayda Jebat, penyanyi yang dikenali sebagai Nana ini bersyukur atas kemenangan yang diraihnya.

"Saya sendiri tak sangka dapat membawa pulang trofi ini dan menewaskan penyanyi lain yang sememangnya hebat. Bagi saya, semua yang tercalon dalam senarai Top 5 sudah menjadi juara.

"Namun begitu, rezeki berpihak kepada saya dan saya sangat bersyukur di atas kemenangan ini. Terima kasih kepada semua peminat yang tidak jemu menyokong kerjaya seni saya," kata Nana kepada Astro Gempak.

Merupakan trofi pertama sepanjang 17 tahun penglibatan Nana dalam industri seni, Nana mengakui faktor-faktor lain turut membantu dia memenangi anugerah tersebut.

"Saya akui, faktor kemenangan saya dalam GegarVaganza 2 dan lakonan saya dalam drama bersiri Dia Semanis Honey turut menjadi penyumbang kemenangan saya.

"Trofi ini akan saya jadikan pembakar semangat untuk terus berusaha dengan lebih kuat lagi. Saya tidak akan menghampakan peminat yang selama ini menyokong kerjaya saya," katanya lagi.

Anugerah MeleTOP ERA 2016 dihoskan oleh Johan, Nabil Ahmad dan Neelofa bersiaran secara langsung pada Ahad lalu di Stadium Melawati, Shah Alam menerusi saluran Astro Ria (104), serta siaran serentak di Ria HD (saluran 123) bermula jam 9.00 malam.

Teks oleh: Kamaruddin Razal