Bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek enggan menerima permohonan maaf pengacara rancangan Sukan Tak Sentral, Ammar berkenaan kontroversi mempersendakan nama mendiang bapanya.

Menurut Watson, dia masih belum dapat menerima perbuatan berkenaan yang dianggap keterlaluan.

"Mungkin satu hari nanti saya akan menerima permohonan maaf itu, tetapi bukan sekarang," katanya.

Tambah Watson lagi, dia kini menyerahkan perkara itu kepada polis untuk tindakan seterusnya selepas membuat laporan polis semalam.

Watson berkata demikian pada sidang media di hotel di Miri hari ini selepas bertemu pengurusan Primeworks Studios Sdn Bhd(PWS) diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Izham Omar.

Pertemuan itu turut dihadiri oleh pengacara tersebut, Azizul Ammar Abu Hassan.

Semalam, PWS yang diwakili Ahmad Izham memohon maaf kepada Watson.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar dalam kenyataannya hari ini mengesahkan menerima laporan Watson Nyambek dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ahmad Izham berkata, rancangan Sukan Tak Sentral dibatalkan serta merta manakala tujuh krew produksi termasuk pengacara dan penerbit rancangan itu digantung tugas.

Katanya Azizul Ammar digantung dalam tempoh yang belum ditetapkan.

“Dalam tempoh penggantungan itu, Ammar tidak akan dipanggil oleh mana-mana rancangan terbitan PWS.

"Perbuatan mempersendakan nama baik bapa Watson adalah salah dan tidak sepatutnya berlaku.

"Kami akui perbuatan itu menyinggung perasaan Watson dan seluruh keluarganya," katanya.

Katanya, pihaknya amat menghormati Watson sebagai seorang atlet yang banyak berjasa kepada negara.

Sementara itu, Ammar berkata, dia tidak mempunyai niat untuk mempersendakan nama mendiang bapa Watson.

"Saya memohon maaf kepada Watson dan keluarganya atas keterlanjuran berkenaan," katanya.

Terdahulu, pengacara rancangan Sukan Tak Sentral, Ammar telah mencetuskan kontroversi apabila mempersendakan nama mendiang bapa Watson dalam rancangan itu.

Sumber / Foto: Harian Metro