Peserta Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017), Jiggy, mengakui tidak menyangka gabungannya bersama Vicha dan Mamat menjadi hingga mampu bertahan pada minggu kesepuluh.

Jiggy atau nama sebenarnya Mohamad Aizat Ahmad Nazri, berkata, kejayaan itu lebih bermakna apabila dia berjaya merangkul trofi Gempak Man of The Match (GMOTM) meskipun kumpulan Masin diumumkan sebagai kumpulan yang tersingkir.

"Sebenarnya saya berasa bangga dengan Mamat dan Vicha kerana mereka merupakan ahli kumpulan yang dedikasi dalam memberikan idea untuk mengadakan persembahan.

"Ternyata percubaan kumpulan kami mengabungkan tiga buah negara iaitu Indonesia, Malaysia dan Singapura menjadi dan ia merupakan sesuatu yang diluar jangkaan.

"Pada awalnya kami cuma merancang dapat bertahan sehingga minggu keempat sahaja namun ternyata rezeki kami sehingga minggu kesepuluh dan itu merupakan kejayaan untuk kami sebagai kumpulan baru.

"Meskipun kami tersingkir namun kejayaan saya merangkul trofi GMOTM merupakan sesuatu diluar jangkaan dan bersyukur kerana orang mula mempercayai bakat yang ada pada saya," katanya kepada Astro Gempak.

Jiggy ditemui ketika majlis sidang media minggu kesembilan MLM2017 bertempat di Royal Theater Shah Alam pada Jumaat.

Selain Masin, kumpulan Abioso juga diumumkan sebagai peserta yang tersingkir pada minggu kesepuluh bertemakan 'Kisah Seram Berloghat & Viral'.

MLM 2017 diterajui Datuk AC Mizal sebagai hos dan menampilkan empat juri tetap iaitu Datuk Rosyam Nor, Luna Maya, Datuk Aznil Nawawi dan Neelofa yang akan mengadili para peserta.

MLM 2017 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam pada setiap Jumaat, pukul 10 malam dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Untuk melihat berita terkini dan perkembangan lain serta mengundi peserta kegemaran anda sebagai Gempak Man Of The Match (GMOTM), klik di sini ----> MAHARAJA LAWAK MEGA 2017.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi