Pengarah popular Mamat Khalid dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah pusat perubatan di Ampang, Selangor, hari ini akibat kepenatan dan sesak nafas.

Isternya, Hasmah Hassan, 54, ketika dihubungi berkata, suaminya itu mengadu sukar untuk bernafas kira-kira jam 3 pagi tadi selepas pulang minum bersama rakan-rakannya.

“Waktu itu dia kata masih okay. Bagaimanapun, pagi tadi dia masih mengalami kesukaran untuk bernafas dan saya serta anak-anak membawanya ke hospital kira-kira jam 9 pagi.

“Pemeriksaan doktor mendapati tekanan darahnya tinggi dan doktor juga bimbang dia mengalami masalah jantung tersumbat seperti sebelum ini.

“Bagaimanapun, keadaannya stabil dan doktor mahu dia berehat,” katanya.

Pada November 2014, Mamat turut dimasukkan ke ICU selepas mengalami masalah jantung tersumbat.

Menurut Hasmah, Mamat dipercayai terlalu keletihan selepas menghadiri majlis tayangan perdana filem terbarunya Lebuhraya Ke Neraka yang diadakan di pawagam di Bukit Bintang, di sini, petang semalam.

“Pada majlis itu, selain ditemubual wartawan, Mamat turut bertemu dengan ramai kenalannya. Selepas tamat majlis, mereka sambung berbual di restoran pula. Dia hanya pulang ke hotel kira-kira jam 2 pagi tadi.

“Mungkin itu antara punca dia keletihan,” katanya.

Sumber: Harian Metro