Juri Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017), Luna Maya mengakui amat kagum dengan prestasi persembahan peserta Indonesia.

Luna, 34, berkata, dia tidak menyangka Dzawin dan Abioso berjaya memenangi hati penonton di Malaysia menerusi persembahan mereka.

"Tiga tahun lalu apabila saya menjadi juri tiada satu pun peserta dari Indonesia yang 'bersinar' seperti sekarang dan semuanya tersingkir awal.

"Namun, dua peserta Indonesia pada tahun ini berjaya mencuri hati penonton Malaysia dengan persembahan yang dilakukan oleh mereka ketika berada di atas pentas.

"Mereka juga berkerja keras untuk mendalami mengenai budaya di Malaysia serta merialisasikannya ketika mengadakan persembahan pada setiap minggu dan itu merupakan sesuatu yang luar biasa.

"Saya juga amat kagum dengan kesungguhan mereka dan ini membuatkan Dzawin serta Abioso mampu bersaing dengan semua para peserta dari Malaysia," katanya kepada Astro Gempak.

Selain Luna Maya,MLM 2017 yang diterajui Datuk AC Mizal sebagai hos turut menampilkan Datuk Rosyam Nor, Datuk Aznil Nawawi dan Neelofa yang akan mengadili para peserta.

Seramai tujuh peserta lagi akan meneruskan perjalanan mereka di minggu kesepuluh MLM 2017, bertemakan 'Kisah Seram Berloghat & Viral'.

MLM 2017 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam pada setiap Jumaat, pukul 10 malam dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Untuk melihat berita terkini dan perkembangan lain serta mengundi peserta kegemaran anda sebagai Gempak Man Of The Match (GMOTM), klik di sini ----> MAHARAJA LAWAK MEGA 2017.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi