Pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad mengakui berlaku banyak perubahan kepada dirinya sejak menjadi hos program HBO Sentral.

Menurut Nabil, dia tidak menyangka apabila pihak produksi masih memberi kepercayaan untuknya mengendalikan program tersebut sehingga musim keempat.2

"Rancangan ini sebenarnya bukan mudah untuk dikendalikan kerana saya harus memantapkan penggunaan bahasa Inggeris dan penyampaian.

"Saya juga akan bercakap dalam bahasa Inggeris dengan orang sekeliling untuk memperbaiki penggunaan bahasa itu meskipun ia dilihat kelakar dan kekok oleh mereka.

"Pengalaman yang diperolehi sepanjang menjadi hos membuatkan saya lebih matang dan tugas sebagai hos karpet merah untuk anugerah Anugerah Akademi ke-89 (Oscars) baru-baru ini merupakan sesuatu yang indah.

"Saya akan mengendalikan rancangan ini dengan baik kerana kepercayaan yang diberikan bukan mudah untuk dicapai sebenarnya," katanya kepada Astro Gempak.

Nabil berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran musim keempat HBO Sentral di Restaurant Ruyi & Lyn, Kuala Lumpur, pada Rabu.

HBO Sentral musim keempat akan bersiaran selama 12 episod bermula pada 30 April ini pada pukul 3.45 petang di HBO saluran 411 dan 431.

Program ini akan memberi tumpuan kepada kandungan yang menghiburkan dan berdasarkan pengalaman dalam membawa filem-filem lebih dekat dengan penonton serta menggalakkan penonton untuk menyertai peraduan.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi